M.Janakiraman : Jasa untuk dikenang di sebalik wajah seorang pencinta sejarah

A.Pandiyan

Diterjemah ke Bahasa Malaysia oleh S.T. Saravanan.

Anugerah Vallinam mula diasaskan pada tahun 2014. Anugerah yang disampaikan sekali bagi tiga tahun itu akan disertakan dengan wang ganjaran sebanyak 5,000 ringgit. Pada tahun ini, Anugerah Vallinam akan dianugerahkan kepada penulis dan aktivis sosial M.Janakiraman. Pergerakan Sastera Vallinam yang menyampaikan anugerah ini lebih dikenali sebagai wajah baharu kesusasteraan Tamil yang berkualiti di Malaysia. Maka dengan suka cita, pihak Vallinam hendak menyampaikan anugerah ini kepada M.Janakiraman sebagai tanda memberi penghormatan dan seterusnya memperkenalkan beliau secara meluas kepada  generasi muda. Rencana ini ditulis sebagai perkongsian berkaitan asal usul  M.Janakiraman dan usaha-usaha yang telah dilakukan oleh beliau.

Sejarah masyarakat India di Malaysia

Sejarah dan perkembangan kaum minoriti seperti kaum India di negara Malaysia ini sentiasa dirujuk sebagai topik sensasi untuk dipertikaikan. Sebelum ini, ramai individu pernah mencari jejak sejarah untuk dikaitkan dengan tanah dan perkembangan politik di negara ini. Ada antara mereka mempercayai bahawa mereka dapat menegakkan hak keberadaan mereka di negara ini dengan mengemukakan bukti dan fakta relevan yang tidak disenaraikan di bawah definisi ‘Sejarah Malaysia’. Lebih-lebih lagi, kaum minoriti ini terpaksa membuktikan keberadaan dan sejarah mereka di tanah ini untuk menyangkal stigma yang dikaitkan dengan mereka sebagai ‘kaum pendatang’.

Sugguhpun demikian, sebahagian besar daripada fakta dan bukti yang dikemukakan sebagai sejarah di sini adalah berbentuk lisan yang diputarbelitkan sehingga mempersoalkan kesahihannya. Hal ini sudah menjadi kebiasaan kepada mereka yang suka menggunkan maklumat sejarah silam demi menegakkan kebanggaan etnik. Ada juga yang sanggup menggunakan fakta-fakta sejarah silam berkaitan Rajendra Chola, Kadaram, Parameswara dan sebagainya semata-mata untuk mencipta gambaran supaya mempegunkan orang yang mendengarnya. Fakta-fakta sejarah seumpama ini disampaikan dalam bentuk kisah perwiraan dengan tujuan membangkitkan semangat jati diri dan kekaguman terhadap etnik sendiri. Mereka lebih rela membicarakan sejarah silam secara penuh semangat dengan tujuan mengangkat maruah diri di hadapan etnik-etnik lain di negara ini. Fenomena ini hampir sama dengan konsep penyampaian cerita rakyat. Sejarah silam di sini menjadi kaedah untuk mengekalkan perkembangan sesuatu etnik dan disampaikan menerusi mitos-mitos yang digunakan secara turun-temurun. Kisah-kisah sejarah yang direka tanpa berasas ataupun dibangunkan atas penerokaan yang cetek seumpama ini banyak digunakan dalam arena-arena politik dan forum motivasi. Mereka melihat kandungan dan fakta sejarah ini sebagai material pemasaran untuk menarik perhatian orang ramai.

Hanya golongan intelektual dan penyelidik yang mengambil usaha untuk menghayati kandungan sejarah berdasarkan sumber yang sahih. Penerokaan fakta baharu juga disampaikan berdasarkan sumber yang nyata sahaja. Hasil penulisan yang dihasilkan dengan kaedah inilah yang sebenarnya menjadikan M.Janakiraman sebagai individu penting dalam persekitaran Tamil Malaysia.

Dokumen dan buktinya

Sekiranya menghayati sejarah masyarakat India di negara ini, segala-galanya bermula pada abad ke-19 apabila penduduk dari India Selatan dibawa oleh Kerajaan British sebagai buruh untuk bekerja di kawasan perladangan di Malaysia. Pelbagai peristiwa dan sejarah yang dilakar adalah berlandaskan kisah hidup mereka di negara ini sejak empat generasi yang lalu. Oleh sebab tidak mempunyai dokumentasi dan bahan bukti yang mencukupi, banyak fakta sejarah didapati masih kabur dan gagal dibuktikan. Terdapat juga peristiwa sejarah yang kian dilupakan.

Selepas memperoleh kemerdekaan, negara kita telah mengalami perubahan dan pertumbuhan dalam pelbagai bidang. Sungguhpun begitu, taraf hidup kaum yang bertungkus lumus untuk memangkinkan pembangunan negara sejak zaman prakemerdekaan lagi pula dilihat semakin merudum. Apabila tanah yang diduduki lebih daripada seratus tahun diambil secara paksa atas alasan kemajuan dan penambahbaikan negara, mereka telah menjadi gelandangan dan terpaksa menetap di kawasan pinggir bandar ataupun di kawasan terpencil. Dengan nasib yang malang mereka terpaksa hidup merempat dan berpindah-randah, maka kenangan dan peristiwa penting yang sepatutnya direkodkan sebagai sejarah pula turut ditelan zaman.

Jika hendak memahami masalah kehidupan yang dihadapi oleh kaum India di Malaysia ini, maka kita perlu meninjau sejarah bagi tempoh 200 tahun yang lalu. Kita tidak boleh mengubah nasib kehidupan ataupun memahami masalah mereka hanya dengan berdasarkan pada sejarah zaman silam dan kisah-kisah perwiraan yang dilaungkan secara emosi di atas pentas. Sebaliknya, golongan muda masa kini perlulah dididik dengan sejarah yang betul berkaitan kisah kehidupan nenek moyang mereka yang dibawa ke sini oleh orang Inggeris. Setiap peristiwa dan kejadian berkaitan usaha, kebangkitan serta pengorbanan mereka mesti direkodkan dengan betul. Generasi muda ini mempunyai ratusan nasihat dan pengajaran untuk dipelajari daripada peristiwa lampau demi kemajuan mereka di negara ini. M.Janakiraman merupakan antara aktivitis sastera yang giat berusaha berlandaskan ideologi tersebut di negara ini. Sebagai seorang anak jati yang lahir dan membesar di Kuala Selangor, M.Janakiraman telah menghabiskan sebahagian besar daripada hidupnya untuk mendokumentasikan sejarah kehidupan masyarakat yang dikera sebagai buruh di kawasan-kawasan ladang di Malaysia.

Sumber bertulis seperti dapatan kajian adalah bukti yang penting untuk mengesahkan sejarah dengan keasliannya kepada generasi akan datang. Cerita yang disampaikan secara lisan dan tidak berasas boleh memanipulasikan emosi yang terbentuk dalam kalangan golongan muda. Dalam penyelidikan sejarah, usaha mengumpul dokumen yang penting dan usaha memelihara dokumen dengan serba baik dianggap sebagai tugas yang penting. M.Janakiraman telah melibatkan dirinya dalam tugas yang memerlukan banyak masa dan usaha itu dengan hati yang rela.

Mahathir dan kekangan hidup masyarakat Melayu

Apabila ‘The Malay Dilemma’, sebuah buku yang ditulis oleh Tun Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri Malaysia diterbitkan pada tahun 1970, kandungan buku tersebut telah dibaca dan dibahaskan secara meluas. Selepas ‘Peristiwa Mei 1969’, ramai pemimpin politik telah menyatakan pandangan mereka tentang hak istimewa melibatkan perlindungan, pengurusan dan pembangunan masyarakat Melayu selaku kaum majoriti di negara ini. Ideologi yang disampaikan melalui buku Tun Mahathir Mohamad itu menjadi kemuncak kepada segala usaha tersebut. Kesusahan yang dialami oleh orang Melayu di negara ini menjadi teras utama dalam agenda politik beliau pada ketika itu.

Menurut beliau, usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan untuk menyediakan kemudahan dan peruntukan khas kepada masyarakat Melayu tidak boleh disifatkan sebagai tindakan perkauman kerana kaum tersebut telah hidup dalam kemunduran sejak dahulu lagi. Sungguhpun Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan pada tahun 1971 bertujuan untuk merapatkan jurang ekonomi antara pelbagai kaum di Malaysia, namun kaum Melayu yang menerima peluang perkembangan secara majoritinya. Jadi, tidak dapat dinafikan bahawa karya yang diterbitkan oleh Tun Mahathir Mohamad, ‘The Malay Dilemma’ mendedahkan kekangan kehidupan yang dialami oleh orang Melayu dalam sebuah negara yang mempunyai persaingan tinggi antara pelbagai kaum. Malangnya, tidak ada buku ilmu yang ditulis pada masa itu untuk mendepankan kekangan sara hidup yang dialami oleh kaum India di negara ini. Pada masa tersebut, beberapa laporan pengajian tinggi sahaja diterbitkan berkaitan isu tersebut. Oleh hal demikian, berlakulah kelewatan dalam usaha mendedahkan masalah kehidupan moden yang dilalui oleh masyarakat India yang sudah pun menetap di Malaysia ini melebihi 200 tahun.

Kerajaan yang lebih mementingkan kebajikan dan pembangunan kaum majoriti secara tidak sengaja telah menganaktirikan perkembangan dan pembangunan kaum-kaum minoriti. Kerajaan gagal merancang pelan pembangunan berasingan untuk mereka. Kaum-kaum minoriti disalurkan dengan peruntukan dan rancangan yang menjadi lebihan konsesi setelah diagihkan kepada kaum Melayu. Parti-parti politik yang sepatutnya membela hak kaum minoriti pula mempergunakan mereka sebagai tenaga pekerja yang bergantung sepenuhnya pada peruntukan dan sumbangan yang dihulurkan.

Walaupun masyarakat Cina merupakan suatu lagi kaum minoriti di negara ini, namun mereka telah memonopoli kuasa ekonomi negara dengan berbekalkan ilmu perniagaan dan perdagangan. Strategi politik mereka yang kuat juga telah memangkinkan perkembangan ekonomi mereka. Jadi mereka berjaya mengatur rancangan ekonomi yang tersendiri untuk membangunkan kaum dan masyarakat mereka.

Nasib kaum minoriti India pula berbeza daripada kaum Cina. Tahap kehidupan masyarakat India makin diketepikan selepas negara mencapai kemerdekaan. Isu pemecahan dan penjualan ladang menjadi faktor utama kepada masalah tersebut. Ketika pegawai-pegawai British meninggalkan negara ini, mereka telah menjual kawasan ladang secara tergesa-gesa tanpa mengambil kira kehidupan pekerja India yang menetap di sana. Apabila kawasan ladang getah telah dirobohkan dan dijual, kebanyakan masyarakat India hilang tempat tinggal mereka kerana tidak ada pengaturan alternatif yang disediakan kepada mereka. 

Setelah kehilangan persekitaran hidup yang pernah diduduki secara bertahun-tahun, kaum India terpaksa bermigrasi ke kawasan pinggir bandar. Mereka mula digelar sebagai golongan miskin bandar yang meneruskan kehidupan sebagai masyarakat kelas kedua. Mereka yang sebelum ini bekerja sebagai pekebun dan penoreh getah kini kehilangan mata pencarian di sebuah negara yang sudah merdeka. Isu pemilikan kad pengenalan, masalah permit kerja dan kekangan dalan penguasaan bahasa Melayu turut memburukkan lagi nasib mereka.

Bagi pemimpin-pemimpin seperti Tun Mahathir yang sentiasa berfokus pada kebajikan rakyat Melayu, kewujudan beberapa orang pegawai atasan dan orang kaya dalam kalangan kaum India dilihat sebagai perkembangan dan kemajuan yang mencerminkan keseluruhan kaum minoriti tersebut. Bilangan doktor dan peguam yang banyak dalam masyarakat India juga sering ditunjukkan sebagai bukti pembangunan kaum. Pada hakikatnya, mereka hanyalah bilangan yang terlalu kecil dalam kaum minoriti ini, sedangkan lebih daripada 90% masyarakat India di Malaysia adalah terdiri daripada golongan buruh dan pekerja ladang yang tidak mempunyai pendidikan asas. Sungguhpun pemimpin-pemimpin tersebut sedar akan hakikat ini, namun peluang pendidikan dan bantuan ekonomi kepada kaum India tetap diabaikan pada ketika itu.

Jadi, buku yang berjudul ‘Malaysia Indiargalin Ikkattane Nilai’ (Dilema kaum India di Malaysia) telah diterbitkan oleh M.Janakiraman. Karya ini dihasilkan berdasarkan persoalan jiwa seorang anak jati kaum India yang membesar secara tercicir daripada segala pertimbangan yang sepatutnya ditawarkan oleh kerajaan.

Dilema masyarakat India di Malaysia

M.Janakiraman sendiri merupakan seorang anak ladang yang pernah berdepan dengan masalah-masalah sosioekonomi dan sosiopolitik yang dihadapi oleh masyarakat India. Setelah berdepan dengan isu migrasi akibat pemecahan ladang, isu surat beranak dan kad pengenalan, pengabaian peluang pendidikan dan persaingan peluang ekonomi, beliau telah membuat perancangan serta melaksankannya dengan baik untuk mengatasi kekangan tersebut. Sungguhpun tidak berpendidikan tinggi, beliau telah menjalankan pelbagai kajian dan penyelidikan untuk mengumpul sumber-sumber maklumat yang penting. M.Janakiraman telah menjadikan Rev.Fr.Y.Carof sebagai gurunya, seorang paderi Kristian yang membimbingnya ke arah khidmat sosial. Paderi yang berasal dari Perancis itu pernah datang ke Malaysia untuk meluaskan ajaran keagamaan dan beliau membimbing masyarakat setempat untuk wujudkan koperasi sebagai platform ekonomi. M.Janakiraman telah mendapat peluang untuk bertemu dengan paderi tersebut pada usia muda lalu mengikuti jejak langkah gurunya dengan melakukan kerja-kerja sosial dan pengurusan koperasi. Selain itu, penulis veteran B.M.Ilamvaluthi yang menjadi gurunya ketika menuntut pendidikan awal turut dijadikan sebagai mentor ketika menceburi bidang penulisan.

M.Janakiraman telah mendepankan segala dapatan penemuannya melangkaui sentimen perkauman. Kajian-kajian yang dijalankan oleh beliau sama sekali tidak memihak kepada kepentingan mana-mana kaum kerana beliau seorang yang berfikiran logik dan rasional. Beliau sentiasa mendepankan pendapatnya berdasarkan perspektif yang luas berkaitan perjuangan hidup setiap manusia. Beliau sentiasa menegaskan bahawa kelaparan tidak mengenal bangsa, kelas atau agama.  Menerusi penyelidikan, beliau sentiasa mengkaji bagaimana masyarakat India yang pernah bekerja keras untuk pembangunan negara dan pernah menjadi bank undi tetap kepada parti-parti pemerintah buat bertahun-tahun lamanya, kini disisih dan dipinggirkan. Beliau juga tidak pernah berkompromi dalam usaha merekodkan dapatan penyelidikan secara telus. Menurut beliau, membina menara-menara yang tinggi atau menyediakan kemudahan pengangkutan moden tidak membawa erti pembangunan negara yang sebenarnya. Sebaliknya, pembentukan kemanusiaan yang unggul serta tidak ditinggalkan dalam bidang pendidikan dan ekonomi dilihat sebagai identiti sebenar kepada sebuah negara yang maju.

Dalam tempoh 50 tahun ini, M.Janakiraman telah menggiatkan usaha-usaha pembangunan insan demi mengurangkan beban kehidupan yang diharungi oleh masyarakat minoriti yang terdiri daripada pelbagai kaum. Bagi tujuan tersebut, beliau pernah melawat dan mengunjungi pelbagai kawasan pedalaman, pekan kecil dan penempatan terpencil di seluruh Malaysia. Beliau tinggal bersama masyarakat di sana untuk mengetahui kekangan dan bebanan hidup yang dilalui oleh mereka. Sebagai seorang rakyat Malaysia yang berwawasan luas, beliau sanggup melalui pengalaman hidup masyarakat kaum minoriti supaya dapat mengenali faktor yang menjadi punca kepada kekangan kehidupan mereka. Sejak kecil lagi, beliau terlibat dalam khidmat sosial dan melakukan kajian lapang melalui pertubuhan-pertubuhan yang disertainya seperti Majlis Belia, Koperasi Rakyat, dan Persatuan Khidmat Sosial. Ketika itu, barulah beliau sedar bahawa masalah dan kekangan hidup yang dihadapi oleh masyarakat India yang tinggal di kawasan ladang, punca-puncanya serta kesannya pada masa hadapan haruslah didokumentasikan dengan selengkapnya. Kemudian, barulah beliau mula mengumpul dokumen-dokumen yang sahih supaya digunakan sebagai bukti yang kukuh dalam penyelidikannya. Penyelidikan beliau ini bukan seperti kajian yang dijalankan oleh para sarjana demi keperluan pengajian tinggi mereka, malah beliau bertekad untuk menjalankan kajian tersebut demi penerokaan terhadap perkhidmatan sosial yang menjadi asas dalam kehidupannya.

Beliau telah melakukan penambahbaikan ke atas kandungan penyelidikannya dengan menyelitkan maklumat ringkas dan gambar-gambar kenangan yang jarang ditemui. Tindakan ini membuktikan beliau mempunyai pemahaman yang mendalam atas tujuan kajian yang dilakukannya. Pada masa yang sama, beliau juga tidak bersetuju untuk merekodkan fakta-fakta sejarah silam tersebut sebagai turutan kenangan yang bersifat nostalgia. Beliau juga tidak menyokong karya-karya sastera yang dihasilkan dengan tujuan sedemikian. Beliau yakin bahawa karya-karya sastera seumpama itu tidak bermanfaat dalam perbincangan intelektual. Matlamatnya amat jelas, iaitu beliau hendak mengemukakan sumbangan yang dilakukan oleh kaum India kepada pembangunan negara ini dan seterusnya hendak menyampaikan kekangan hidup yang dialami oleh mereka kepada etnik-etnik lain dengan menunjukkan bukti yang kukuh. Beliau yakin bahawa matlamatnya itu tidaklah bersifat tindakan demi manfaat kaum sendiri, malah beliau hendak menyuarakan pandangannya terhadap ketidakadilan yang dialami oleh masyrakat India selaku kaum minoriti di negara ini.

Personaliti M.Janakiraman

M.Janakiraman mula menceburi bidang penulisan pada tahun 80-an dan memantapkan dirinya dengan menulis artikel-artikel sosiologi untuk diterbitkan dalam surat khabar. Beliau bertungkus lumus untuk menyiapkan kandungan artikel-artikel yang diterbitkannya. Demi menegakkan kebenaran dan kesaksamaan dalam kajian sosial yang dilakukan, beliau telah mengelakkan dirinya daripada menyertai mana-mana parti politik. Pada pandangan beliau, individu yang mempunyai minat yang tulus dalam perkhidmatan sosial seharusnya tidak melibatkan diri dalam aktiviti parti politik. Beliau juga pernah berkata bahawa tindakan segelintir pemimpin yang terlibat secara aktif dalam perkhidmatan sosial dan kemudiannya menyertai parti politik dilihat sebagai suatu kehilangan yang tidak ternilai kepada komuniti.

Setelah menjadi penyelidik lapangan dan penulis artikel selama bertahun-tahun, akhirnya M.Janakiraman telah menerbitkan sebuah buku yang berjudul ‘The Dilemma of Malaysian Indians’ pada tahun 2006. Kandungan buku itu mengisahkan sejarah dan salasilah kaum India di negara Malaysia. Buku yang diterbitkan dengan pelbagai rekod dan dokumen yang penting itu kemudiannya telah diterjemahkan dan dicetak semula dalam bahasa Inggeris. Buku yang diterjemahkan itu telah mendapat perhatian ramai pembaca dan menerima sambutan baik dalam kalangan etnik lain. Kandungan buku itu dikatakan sesuai untuk dibahaskan dan dibandingkan dengan buku ‘The Malay Dilemma’ yang ditulis oleh Tun Mahathir Mohamad. Setakat ini, buku yang ditulis oleh M.Janakiraman itu telah diterbitkan sebanyak empat edisi, setiap edisi tersebut ditambah baik dengan selitan maklumat dan bukti yang terkini.

Pada tahun 2016, M.Janakiraman telah menyunting dan menerbitkan sebuah edisi ilustrasi yang berjudul ‘The Malaysian Indian Forgotten History of the Colonial Era’. Edisi tersebut mengandungi ratusan gambar yang jarang ditemui serta disunting dengan salinan dokumen dan nota yang eksklusif. Buku tersebut direka semata-mata dalam bentuk ilustrasi supaya mudah menarik minat pembaca sejarah generasi muda. Versi Tamil buku tersebut sedang diproses dan akan diterbitkan pada tahun 2022.

M.Janakiraman telah memikul segala tanggungjawab atas penerbitan hasil tulisannya secara seorang diri tanpa bergantung pada bantuan mana-mana pihak. Bukankah tugas ini seharusnya dilakukan oleh pertubuhan ataupun organisasi sosial yang menerima peruntukan daripada kerajaan pada setiap tahun? Yang paling menyedihkan, buku-buku yang diterbitkan oleh beliau tidak mendapat perhatian ataupun pujian yang sewajarnya daripada mana-mana pertubuhan Tamil di negara ini. Atas jasa sosial yang dilakukan oleh M.Janakiraman tanpa berharapkan pengiktirafan, beliau pernah diundang oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN) untuk menghadiri seminar sukarelawan yang dianjurkan di New Delhi pada tahun 1984 untuk berkongsikan pengalamannya.

Sebelum menerbitkan hasil tulisannya, M.Janakiraman telah mengumpulkan data daripada pelbagai sumber dan seterusnya menyusun maklumat-maklumat mengikut kadar kebolehpercayaan yang sesuai, sama seperti kaedah yang dilakukan dalam penyelidikan ilmiah. Hasil penulisan beliau merupakan sumber rujukan yang terbaik untuk diguna pakai dalam persekitaran ilmiah negara kita, khusunya dalam konteks Tamil. Buku-buku yang diterbitkan oleh beliau adalah karya yang berkualiti dan sesuai digunakan sebagai rujukan oleh penyelidik lain. Beliau telah mengemukakan pelbagai persoalan mengenai sejarah berdasarkan dapatan data yang dikumpulnya. Beliau telah menjelaskan faktor-faktor yang menjadi punca kepada masalah yang dihadapi oleh masyarakat masa kini berlandaskan pelbagai maklumat yang relevan. Usaha yang dilakukan oleh M.Janakiraman ini sebenarnya setimpal dengan tugas-tugas yang perlu dilakukan oleh pakar-pakar bidang sejarah di peringkat universiti.

M.Janakiraman yang dilahirkan pada tahun 1948, masih meneruskan tugas-tugas sosialnya tanpa berasa jemu walaupun sudah berumur 74 tahun. Ketika ditemu bual, ayah kepada tiga orang anak itu mengaku bahawa beliau telah menghabiskan banyak masa dalam kerja lapangan dan penyelidikan yang dilakukannya dan jarang meluangkan masa bersama keluarganya.

Sudah terang lagi bersuluh dibuktikan bahawa M.Janakiraman merupakan seorang personaliti yang hebat di Malaysia, memikirkan keperluan masyarakat tanpa mementingkan diri sendiri. Usaha beliau harus disanjung tinggi kerana beliau mampu merangka perancangan yang sewajarnya serta menghabiskan hidupnya demi melaksanakan perancangan tersebut. Kemungkinan besar, hasil penulisannya itu boleh dipertikaikan dan dibahaskan ataupun ada pihak yang mampu mengemukakan idea alternatif yang lebih bernas. Namun, idea penyelidikan yang dikemukakan oleh beliau adalah sangat jujur dan bersifat tulus. Segala persoalan dan idea yang dikemukakan dalam penulisannya itu dianggap sangat penting kerana semuanya adalah berdasarkan pengalaman hidup seorang anak jati yang membesar di kawasan ladang. Dalam penulisannya juga, beliau telah mengemukakan aspek-aspek yang perlu dibawa kepada pertimbangan kerajaan supaya dapat melakukan tindakan yang sewajarnya.

Kegagalan mengesan ataupun menyedari usaha-usaha individu seumpama ini dilihat sebagai kelemahan dalam persekitaran Tamil. Namun, tidak dapat dinafikan bahawa usaha dan jasa individu seperti M.Janakiraman ini akan diiktiraf sebagai khazanah yang bernilai pada masa hadapan. M.Janakiraman telah menunaikan kewajipan sosial beliau kepada komuniti ini dengan menerbitkan koleksi sejarah yang amat penting. Menerusi usaha yang dilakukannya, beliau telah merekodkan baik buruk yang dilalui oleh masyarakat Tamil di negara ini. Hasil penulisan beliau merupakan dokumen kekal yang bakal digunakan sebagai sumber sejarah. Apabila memperhalusi sejarah tersebut, kita dapat sedar bahawa betapa pentingnya unsur perpaduan kaum dan betapa bahayanya pemecahbelahan antara kaum di negara ini. Sejarah tersebut mampu menyedarkan setiap orang India supaya mengetahui peluang yang terlepas akibat kejahilan mereka pada masa silam dan kesan-kesannya yang terpaksa ditanggung. Kajian beliau juga membangkitkan pemikiran kaum India bagaimana mereka harus memperbaiki tahap sosioekonomi mereka di negara ini. Dengan berpandukan pada tragedi dan kesilapan masa lalu yang telah berlaku, generasi muda bolehlah menyesuaikan diri untuk menghadapi persaingan hidup di negara ini. Bukan sahaja hasil penulisannya, malah nilai dedikasi dan sifat keterbukaan beliau untuk melakukan khidmat sosial juga harus dijadikan teladan kepada golongan belia pada masa kini. Vallinam berasa bangga dan berbesar hati untuk menyampaikan Anugerah Vallinam kepada M.Janakiraman.

(Visited 105 times, 1 visits today)